IPOH: Masalah bekalan air di Pangkor yang terjejas sehingga mengganggu aktiviti pelancongan berjaya dipulihkan sepenuhnya, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani dalam kenyataan berkata kerajaan negeri menerusi Lembaga Air Perak (LAP) telah mengatasi masalah kebocoran satu daripada tiga saluran paip utama rentas dasar laut yang disyaki antara punca gangguan bekalan air itu.

"Sektor pelancongan Pulau Pangkor sudah bersedia menerima semula kehadiran pengunjung apabila masalah gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlaku sejak awal bulan ini telah kembali pulih sepenuhnya.

"Langkah-langkah pembaikan yang telah dilaksanakan LAP membaiki kebocoran pada saluran paip sepanjang 3.5 kilometer dari jeti Lumut ke Pulau Pangkor," katanya.

Beliau berkata selain kerja-kerja pembaikan, LAP juga telah melaksanakan beberapa langkah mitigasi bagi mengatasi masalah berkenaan.

"LAP telah meningkatkan bekalan air ke daerah Manjung ke paras optimum selain melaksanakan pengezonan semula bekalan di kawasan yang terlibat dengan gangguan.

"LAP turut menyediakan lori tangki air dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan termasuk penyediaan tangki-tangki statik di lokasi-lokasi strategik," katanya.

Menurut Saarani paras kolam air di Pulau Pangkor menunjukkan trend peningkatan manakala kawasan-kawasan yang sebelum ini mengalami gangguan bekalan air termasuk Teluk Nipah, Teluk Dalam dan Sungai Pinang Kecil dilaporkan sudah pulih sepenuhnya.

"Saya dimaklumkan penggiat pelancongan termasuk pemilik chalet dan rumah inapan yang terjejas akibat masalah bekalan air juga telah kembali beroperasi seperti biasa.

"Walaupun situasi di Pulau Pangkor sudah kembali pulih, LAP akan terus memantau kestabilan bekalan air ke kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang terutamanya sepanjang kempen Tahun Melawat Perak 2024," katanya.

Terdahulu dilaporkan bekalan air di Pulau Pangkor terjejas sejak seminggu lepas dan tekanan air terlalu rendah sehingga menimbulkan kerunsingan kepada pengguna dan pengusaha pelancongan di pulau itu.

Malah pengusaha terpaksa berdepan dengan tuntutan pelancong yang meminta pulangan wang dan diskaun akibat masalah itu.

-- BERNAMA